Alam Ria PASTI WP 2012

Persembahan Nasyid dari Pasti WP.

Temasya Sukan Pasti WP 2012

Kemeriahan Sukan Tahunan PASTI WP 2012

Selasa, 29 November 2011

Gambar Ihtifal PASTI WP 2011

Ahad, 27 November 2011

Temuduga Terbuka Guru PASTI WP

Temuduga Terbuka sebagai guru PASTI Wilayah Persekutuan
Pada: 
11 December 2011
Masa: 
9.00pagi – 4 petang
Tempat: 
PASTI Al-Hidayah , No 14, Jalan Gurney, 54000 Kuala Lumpur


Sila bawa resume, sijil yang berkaitan, photostat IC dan gambar berukuran saiz passport semasa hari temuduga

Sila Hubungi:Hilman Muslim
Tel: +6013-3006125
Emel: hilman.muslim@gmail.com


Majlis Perkahwinan Cikgu Masyitah

Alhamdulillah  selesai sudah perkahwinan cikgu Masyitah Az-Zahra Binti Hj Miswar dengan Mohammad Mukrim Bin Yusof. Perkahwinan telah berlangsung pada 26 Nov 2011 di Lorong Ibukota 6. Taman Ibukota Kuala Lumpur.Kami dari warga PASTI WP mengucapkan tahniah kepada cikgu Masyitah dan suaminya.

Cikgu Masyitah merupakan cikgu di PASTI Ibnu Khaldun selama 2 tahun. Kini cikgu Masyitah telah menamatkan karya sebagai cikgu PASTI Ibnu Khaldun kerana akan berangkat ke Sabah tidak lama lagi. Tapi tidak mengapa, di Sabah tetap ada PASTI. 

Majlis akad nikah

Cikgu Masyitah bersama suaminya

Pengantin bersama pengurus Ibnu Khaldun dan sahabatnya di UITM


Jumaat, 25 November 2011

Majlis Ihtifal PASTI WP kali ke 23

Pada 13 Nov bertempat Kolej Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM Taman Memewar) berlangsungnya Ihtifal PASTI WP kali ke 23. Perasmian oleh En Kamaruzaman Bin Mohamad iaitu Ketua Dewan Pemuda PAS WP. Program ini merupakan acara penutup tahun 2011 bagi meraikan graduan-graduan cilik 6 tahun PASTI seluruh WP yang berjaya menghabiskan pengajian mereka pada tahun ini. Juga penganugerahan kepada pelajar terbaik PASTI WP 2011 di samping pelajar-pelajar cemerlang di setiap PASTI.

Penyampaian Anugerah
1.       Pelajar Terbaik 6 tahun PASTI WP
-          Nurin Dirayati ‘Adani Binti Samzaini

2.       Pelajar Terbaik 5 Tahun PASTI WP
-          Adam Harith Bin Noorazly

3.       Guru Mithali 2011
-          Rozana Binti Mohd Razi

4.       PASTI Contoh 2011
-          PASTI Ar-Rasyidin

Persiapan pentas untuk Majlis Ihtifal
Hadiah kepada pelajar-pelajar cemerlang di setiap PASTI

Antara ibubapa yang hadir
En Kamaruzaman Bin Mohamad (Ketua DPPWP) bersama Ustaz Adlin Bin Salleh (Pengarah PASTI WP)
Cikgu Rozana dianugerahkan sebagai Guru Mithali 2011 dan PASTI Cikgu Faziah iaitu PASTI Ar-Rasyidin dianugerahkan sebagai PASTI Contoh 2011
Penyampaian hadiah oleh En Kamaruzaman kepada para graduasi








Khamis, 24 November 2011

Ihtifal PASTI kawasan Lembah Pantai

Pada 19 November  2011 lepas, PASTI kawasan Lembah Pantai telah mengadakan ihtifal yang melibatkan 5 PASTI di bawahnya. 5 PASTI tersebut adalah PASTI Nurul Iman, PASTI As-Soffi, PASTI An-Nur, PASTI Al-Furqan dan PASTI An-Nurhidayah.  Majlis bermula pada pukul 9pagi dengan dirasmikan oleh Pengarah PASTI Wilayah Persekutuan, Ustaz Mohd Adlin Salleh. Kehadiran ibu bapa dan penjaga adalah diluar jangkaan sehingga memenuhi dewan serbaguna MBPJ Gasing Indah. Kehadiran tetamu dan jemputan dianggarkan hampir mencecah 250 orang. Majlis yang julung kali dibuat di tempat terbuka seumpama ini boleh mencatatkan satu sejarah penting buat PASTI kawasan Lembah Pantai.

Persembahan pakaian beragam daripada pelajar 4 tahun. Berwarna-warni dan ceria.

Tahniah buat adik Adam Harith Norazly dan Cikgu Noni dari PASTI As-Soffi.

Semangat adik-adik pesilat kita.

Kehadiran ibu bapa penjaga di luar kebiasaan.



Kemeriahan majlis ditambah lagi dengan persembahan adik-adik pelajar setiap PASTI yang menunjukkan bakat-bakat istimewa yang merangkumi persembahan silat yang bertenaga daripada kumpulan pelajar PASTI As-Soffi yang amat lincah. Turut tidak ketinggalan, PASTI Nurul Iman yang mempersembahkan choral speaking versi bahasa Melayu yang mengujakan semua hadirin yang datang. Persembahan yang penuh dengan mesej-mesej dan nasihat berguna. Selain itu, persembahan baju beragam oleh adik-adik pelajar 4 tahun. Ibu bapa yang banyak menyumbang tenaga dan idea dalam membangunkan program PASTI juga turut dihargai dengan penyampaian Anugerah Ibu Bapa Prihatin.
Hasil persembahan montaj telah menceriakan suasana majlis apabila berjaya mencuri perhatian semua hadirin.
 
Secara keseluruhannya, majlis berjalan lancar dengan berakhirnya penyampaian saguhati dan hadiah kepada seluruh adik-adik pelajar PASTI seramai 207 pelajar. Tahniah diucapkan kepada pihak pelaksana program yang diketuai oleh Saudara Abd Rahman Jabir dan seluruh ahli jawatankuasa yang bertungkus lumus sejak bemula persiapan majlis sehingga selesai. Arigato, Syukran, Terima Kasih.



Rabu, 23 November 2011

Jawatan Kosong Cikgu PASTI As-Salam

TAWARAN JAWATAN KOSONG CIKGU PASTI AS-SALAM
PASTI As-Salam beralamat di Lot 12, Perumahan MARA Seri Pantai, KL

Untuk maklumat lanjut boleh hubungi En Abd Rahman 0129355015

Tarikh Tutup Permohonan : 10 Disember 2011

Selasa, 22 November 2011

Lawatan Kerja PASTI Malaysia

Pertemuan Khas PASTI Malaysia dengan PASTI WP berlangsung pada 20 Nov di PASTI Al-Hidayah. Taklimat khas Ketua Pengarah PASTI Malaysia iaitu Hj Hassan Bin Hj Ahmad menekankan halatuju dan tumpuan kerja 2011 dan 2012. Harapan beliau supaya PASTI WP dapat memperkemaskan organisasi, kerja berpasukan, tingkatkan roh jihad dan lebih prihatin dan lebih cekap.

Setelah itu, perbincangan dua hala diantara pimpinan PASTI Pusat dan PASTI WP diadakan untuk penambahbaikan dan kemajuan PASTI. Kami dari warga PASTI WP akan buat yang terbaik untuk PASTI WP dan berazam akan menjadi PASTI contoh kepada tadika Islam yang lain.

Ucapan aluan dari Pengarah PASTI WP

Jawatankuasa Harian PASTI Malaysia

Taklimat khas Ketua Pengarah PASTI Malaysia

ALP WP dan Pengurus PASTI WP






Isnin, 14 November 2011

Anakku Shamimie dah Grad

ahad ari tu majlis ihtifal shamimie...
alhamdulillah, mimie dapat no 3...
so naik pentas la skali lagi...

awal pagi gak kami bergerak ke sana...
skali ngan aryan kena usung p..
nasib aryan sangat behave...
pandang sini pandang sana..

tidoo zzZZZzzZZZ

kakak mimie yang dah grad... hehehehe

nak jadi cerita, masa baca buku tentatif, skali nampak yang ada acara persembahan..
oh no.. mimie kena bercerita...
gosh...
dia da lama tak buat tu..
tah ingat tah tak tu...
aduyai...
cikgu plak takde gitau apa2...
redha jer la kan...

memula nampak dia cuak..
abis suar tu dia tarik sampai ke lutut..
tapi mulut still potpet...
ada part part dia lupa..
aku da nak tergelak...
tapi... yang paling takleh blah, dia lupa part last...
ada hadis bagai...
last last dia hentam...
"sang arnab pun minta maaf pada kura kura.. ingat kawan kawan, orang yang sombong dibenci tuhan, juga dibenci kawan kawan"

patutnyer takde minta maaf tu...
dibenci kawan kawan pun takde...

cikgu dok sebelah aku..
cikgu terkejut, "eh.. mana ada tu"
ketawa la kitaorang...
hahahahah

nasib dia hentam tu logik...
kretip gak la kan..




Rabu, 9 November 2011

Konvokesyen Pasti WP 2011

Konvokesyen (Ihtifal) Pasti WP 2011. Kami menjemput semua ibubapa dan guru-guru pelajar-pelajar pasti yang berada di seluruh Kuala Lumpur untuk hadir ke majlis Konvokesyen dan penyampaian hadiah pelajar-pelajar cemerlang yang akan diadakan :
Tarikh : 13 November 2011 (Ahad)
Tempat : Dewan Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak
Masa : 8:00 am – 12:00 pm
Semua pelajar-pelajar enam tahun yang menamatkan pembelajaran mereka di pasti akan diserahkan sijil tamat persekolahan. Di dalam majlis ini juga akan disampaikan hadiah kepada pelajar-pelajar 5 dan 6 tahun yang mendapat kedudukan nombor 1,2 dan 3 di pasti masing-masing.
Acara kemuncak, akan dinobatkan pelajar terbaik 5 dan 6 tahun pasti Wilayah Persekutuan.
Semua di jemput hadir.

Pelajar-pelajar pasti terbaik 2007 dari setiap negeri-negeri di Malaysia

Khamis, 3 November 2011

Puasa Hari ‘Arafah

PUASA HARI ‘ARAFAH (9 DZULHIJJAH)
Puasa hari ‘Arafah ialah puasa sunat pada hari kesembilan Dzulhijjah yang disunatkan bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji. Kelebihan berpuasa pada hari ini ialah ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun yang telah lalu dan dosa setahun yang akan datang, sebagaimana hadith yang telah diriwayatkan daripada Abu Qatadah al-Anshari ra:
Dan Rasulullah SAW ditanya tentang berpuasa di hari ‘Arafah. Maka Baginda bersabda: “Ia menebus dosa setahun yang telah lalu dan setahun yang akan datang.” (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Manakala bagi mereka yang melakukan ibadah haji pula adalah disunatkan untuk tidak berpuasa pada hari ‘Arafah dan adalah menyalahi perkara yang utama jika mereka berpuasa juga pada hari itu berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ummu al-Fadhl binti al-Harith:
Ramai di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang ragu-ragu tentang berpuasa pada hari ‘Arafah sedangkan kami berada di sana bersama Rasulullah SAW, lalu aku membawa kepada Baginda satu bekas yang berisi susu sewaktu Baginda berada di ‘Arafah lantas Baginda meminumnya. (Hadith Riwayat Imam Muslim)
Juga daripada hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Sesungguhnya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada Hari ‘Arafah bagi mereka yang berada di ‘Arafah. (Hadith Riwayat Abu Dawud dan an-Nasa’ie; at-Thabrani dari Aisyah rha) [1]
Disunatkan juga berpuasa pada hari ke 8 Dzulhijjah di samping berpuasa pada hari ‘Arafah (9 Dzulhijjah) sebagai langkah berhati-hati yang mana kemungkinan pada hari ke 8 Dzulhijjah itu adalah hari yang ke 9 Dzulhijjah (Hari ‘Arafah). Bahkan adalah disunatkan berpuasa lapan hari, iaitu dari hari yang pertama bulan Dzulhijjah hingga ke hari yang kelapan sama ada bagi orang yang mengerjakan haji atau tidak mengerjakan haji, bersama-sama dengan hari ‘Arafah.
Diriwayatkan dari Ibn Abbas ra:
Rasulullah SAW bersabda: “Tiada amal yang soleh yang dilakukan pada hari-hari lain yang lebih disukai daripada hari-hari ini (sepuluh hari pertama dalam bln Dzulhijjah).” (Hadith Riwayat al-Bukhari)
Dalam hadith yang lain yang diriwayatkan dari Hunaidah bin Khalid, dari isterinya, dari beberapa isteri Nabi SAW:
Sesungguhnya Rasulullah SAW melakukan puasa sembilan hari di awal bulan Dzulhijjah, di hari ‘Asyura dan tiga hari di setiap bulan iaitu hari Isnin yang pertama dan dua hari Khamis yang berikutnya. (Hadith Riwayat Imam Ahmad dan an-Nasa’ie)
Adapun berpuasa pada hari Aidiladha (10 Dzulhijjah) dan hari-hari tasyrik (11, 12 dan 13 Dzulhijjah) adalah diharamkan berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Umar ra:
Bahawasanya Rasulullah SAW melarang berpuasa pada dua hari, iaitu ‘Eid al-Adha dan ‘Eid al-Fitr. (Hadith Riwayat Imam Muslim, Ahmad, an-Nasa’ie, Abu Dawud)
Serta hadith yang diriwayatkan dari Abu Hurairah ra:
Rasulullah SAW telah mengirimkan Abdullah Ibn Huzhaqah untuk mengumumkan di Mina: “Kamu dilarang berpuasa pada hari-hari ini (hari tasyrik). Ia adalah hari untuk makan dan minum serta mengingati Allah.” (Hadith Riwayat Imam Ahmad, sanadnya hasan) [2]
Allahu a’lam bisshawab..
Dipetik dari blog Kelab Diskusi Ilmiah.

Selasa, 1 November 2011

Lawatan Sambil Belajar Pasti Lembah Pantai (As-Sofi, Al-Furqan, An- Nur & Nurul Iman)

Lokasi: Kilang coklat, Pusat Sains Negara, Zoo Negara, Penerbitan Ana Muslim
Tarikh: 25 Okt 2011 (Selasa)
Program lawatan dirancang awal; sekitar 2 bulan. Hasilnya lebih daripada 80 peserta yang terdiri daripada anak-anak, guru-guru dan ibu bapa mendaftar sebagai peserta. Pengangkutannya adalah 3 buah bas persiaran yang disewa khas.
Permulaan aktiviti adalah lawatan di kilang coklat. Di situ kami ditunjukkan demonstasi penyediaan coklat. Kami dibawa ke kedai jualan coklat. Terdapat pelbagai jenis dan bentuk coklat yg dijual. Agak teruja dengan hasil coklat buatan Malaysia.Not bad la. Cuma harganya mahal dari coklat buatan luar…
Kemudian kami bertolak ke Pusat Sains Negara. Di situ kami dapat melihat pelbagai peralatan,game yang menarik berunsurkan sains. Kami juga dapat mempelajari beberapa perkara mengenai sains yang jarang dapat dilihat di tempat-tempat biasa seperti sekolah, perpustakaan dan lain-lain. Anak-anak terpegun melihat paparan sains pada alatan, replika dan gambar. Sungguh ajaib pada mereka!
Destinasi berikutnya ialah Zoo Negara. Kami makan tengahari di perkarangan Masjid Negara. Solat Zohor pula di sebuah masjid dalam perjalanan….
Setibanya kami di Zoo Negara, hujan mulai turun. Seusai sahaja hujan, anak-anak Pasti mula mengatur langkah; berjalan-jalan, berpusing-pusing, meronda-ronda… Sungguh riang mereka semua. Hampir kesemua hidupan sama ada haiwan, burung, serangga dan unggas ditelusuri. Banyak perubahan di dalam zoo hasil daripada projek penaiktarafan. Gembira melihat anak-anak Pasti yang seronok dan teruja melihat hidupan di zoo. Tapi, masa yang ada begitu singkat dek program yang diatur agak padat. Jadi, kesemuanya perlu pantas dan segera. Kesian melihat anak-anak Pasti yang tidak puas melihat hidupan di zoo.
Destinasi terakhir kami ke pusat penerbitan Ana Muslim. Hujan amat lebat ketika kami sampai di sana. Ana Muslim adalah syarikat yang menerbitkan majalah berunsurkan Islam. Di situ kami diberi penerangan tentang operasi dan proses pembikinan majalah Ana Muslim. Juga, kami dibawa melawat dan meninjau bahagian kilangnya. Sebelum berangkat pulang, kami sempat membeli belah barangan Ana Muslim seperti beg, majalah, alatan tulis dan lain-lain.
Pada 6.45 petang kami tiba di Pasti masing-masing. Walaupun agak letih, tapi kenangan sepanjang lawatan ini tidak akan dilupakan. Gembira bukan kepalang. Dengan adanya lawatan seperti ini dapat menghiburkan hati, membuka minda, menambah maklumat serta merapatkan silaturahim di antara anak-anak, ibu bapa dan juga guru-guru.
Sekian, jumpa lagi di lain lawatan, Insya Allah.
Cikgu Noni.
Beratur masuk ke Pusat Sains Negara
“Jaga-jaga! Dinasour dah nganga tu. Sapa la yang kena ngap nanti ni…”
“Anak sapa la yang terbiar ni…”
“Seronok sesekali dapat naik bas ramai-ramai”
“Mama, ada ke binatang besar macam nih?”
“Ni macam rumah Ultraman Mebius je…”